Friday, September 30, 2011

Nadia Hana Abdul Rahman

26 Julai 2011 saya menerima sms daripada seorang pelajar semester 5 yang ingin membuat temujanji pada jam 2.00 petang. Beliau datang berseorangan dan menunjukkan surat tunjuk sebab tentang ketidakhadiran beliau ke kelas tempoh hari.

Sebagai pemenang Dewi Remaja beliau menerima tawaran berlakon sebagai watak Johanna di dalam drama bersiri Musim Kirana. Atas budi bahasa yang ditunjukkan dan kesungguhan beliau untuk terus maju dalam pelajaran, saya menerima surat tersebut. "Mmmm... nak jadi artis rupanya anak murid ku ini..."

Apa lagi yang boleh saya katakan, cuma pesanan buat Hana... "Jaga diri hiasi peribadi. Jangan abaikan pelajaran, tingkatkan CGPA dan grad on time".

Thursday, September 29, 2011

Peperiksaan Akhir Sep 2011

Lamanya tak menulis di sini. Maklumlah sejak ada kelas, agak sibuk sedikit, atau pun tak pandai membahagikan masa. Kalau diikutkan ramai yang sibuk bekerja tetapi masih dapat meluangkan sedikit masa untuk mengemaskini blog masing2.

Tapi tak apa.... sekarang pelajar sedang berhempas pulas dengan Pep Akhir. Lagi lah sibuk untuk siapkan markah kerja kursus, marking dll. Mmmm... itulah rutin pelajar dan pensyarah.

Tak perlu dikeluhkan kerana memang suka dengan apa yang saya buat sekarang ni. Kalau dulu, mengajar bukanlah termasuk dalam agenda saya untuk ke sesi temuduga, tetapi bila dapat pengalaman menjadi Guru Gantian di SM Seri Sepang (di Salak), rasa seronok pulak mengajar. Ya la.... seronok apabila orang akan mendengar kita. Tambah seronok bila lihat kejayaan para pelajar... Rasa puas!!!

Selamat berjaya para pelajar ku.... Semoga ilmu yang disampaikan akan memberi manfaat kepada anda & masyarakat seadanya.

Monday, June 20, 2011

Muzatul Naimah Mohd Shaharuddin

1.35 petang saya didatangai oleh tiga orang pelajar MGT340 Human Resource Management part 5. Selepas menerangkan tentang 'individual assignment' yang saya berikan, Nur Dianah Zakaria berkata "Puan, saya sebenarnya dah lama nak sampaikan salam emak kawan saya. Emaknya kata, dulu anaknya pensyarah sini tetapi telah meninggal dunia. Adik dia kawan baik saya di sekolah. Nama adik dia Muzatul Soleha. Masa saya part 2 ada borak2 dengan mak dia & dia kirim salam, tapi saya tengok puan busy masa jadi KP, susah nak jumpa personal untuk sampaikan salam ni."

Ya, arwah Muzatul Naimah Mohd Shaharuddin takkan saya lupa. Saya memanggil beliau sebagai Lin, itulah nama panggilan yang digunakan kecuali kepada mereka yang kurang mengenali akan memanggil Muzatul. Beliau merupakan 'housemate' saya ketika menyewa di IOI Bandar Putra, Segamat.

Lin yang saya kenal, walaupun tidak banyak bercakap tetapi beliau merupakan seorang pendengar yang setia setiap kali saya bercerita. Satu perkara yang sangat menarik tentang Lin, beliau sangat suka tentang hiasan dalaman dan sangat pandai memasak, apa sahaja yang dia masak semuanya sedap.

Sampai suatu ketika saya bertanya "Lin letak perencah apa ye?"
"Biasa-biasa je kak" jawab beliau merendah diri. Tapi memang saya dan Zana akui masakan beliau memang sedap.

Daripada Lin lah juga saya mula berminat untuk membeli dan mengumpul majalah hiasan dalaman seperti Impiana, Dekor dll hinggalah sekarang. "Lin suka tengok majalah yang banyak gambar berbanding tulisan." Itulah komen beliau.

Kini hanya tinggal kenangan kerana Lin telah meninggalkan saya buat selama-lamanya sejak 7 tahun yang lalu iaitu tiga minggu sebelum majlis perkahwinan saya pada 22.8.2004. Saya rasa lega dan puas hati kerana sempat menunjukkan gambar bakal suami di hari konvokesyennya kepada Lin. "Inilah gambar dia Lin, cikgu Idris bin Kamis di SMK Gemereh".

Masih segar di ingatan, pada hari Jumaat tersebut saya akan balik ke kampung untuk bersama-sama bakal suami membeli barang hantaran di K.Lumpur, Lin pula akan pulang ke kampungnya di Klang untuk menghadiri kelas Master beliau setiap hujung minggu, tak tahu kenapa, tetapi hati saya amat berat untuk berkata "Jumpa lagi hari Isnin ye Lin". Apa yang pasti, tak sabar2 rasanya untuk saya tunjukkan brg yang akan dibeli nanti. Kami bersalaman sebelum berpisah.

Hari Isnin saya dimaklumkan bahawa arwah Muzatul dimasukkan ke ICU kerana penyakit lelah beliau. Memang beliau ada asma dan sentiasa berpantang dalam menjaga pemakanan. Pernah satu malam saya menghantar beliau mendapatkan rawatan di Hosp Segamat (mujur dekat dengan rumah sewa kami). Fitri, adik arwah menghubungi saya Isnin tersebut untuk mendapatkan GL. Saya pun terus menghubungi Admin dan Kak Mai terus faks GL tersebut sebelum dipos.

Dalam kesibukan menghadiri kuliah, tiba2 pada hari Rabu UiTM memaklumkan bahawa arwah Muzatul telah kembali ke rahmatullah. Saya sangat terkejut kerana beliau masih muda lagi dan telah dijemput olehNya. Ternyata Allah lebih menyayangi beliau. Ros Surya Taher sahabat baik beliau juga telah merah2 mata. Ketika menaiki bas UiTM untuk menziarahi arwah yang telah dikebumikan pada siangnya, saya memilih untuk duduk bersendirian di dalam bas. Sepanjang perjalanan saya tidak dapat membendung kesedihan dan kenangan bersama2 beliau sentiasa bermain di ingatan. Kadangkala saya tersenyum & kadangkala saya bersedih. Biarlah saya menzahirkan apa yang terbuku di hati daripada menyimpan hingga menghimpit diri.

Kini semua itu telah berlalu. Kehadiran seorang pensyarah baru Roslina Mohamad Shafi menyentak hati saya. Di awal pertemuan saya tidak boleh melihat wajah beliau yang seiras arwah kerana ini akan mengimbau segala kenangan bersama-sama arwah. Apabila teringat, terus saya sedekahkan al-fatihah. Wajah Ros memang mirip arwah cuma arwah memakai kaca mata sedangkan Ros tidak. Lama-kelamaan apabila kerap bertemu barulah saya dapat menerima bahawa itu adalah Roslina dan bukannya Lin.

Sehingga ke saat menulis blog ini, saya masih merasa kesedihannya. Buat sahabatku Lin, akak doakan semoga Lin di tempatkan dalam kalangan mereka yang terpilih olehNya. Amin. Alfatihah.

Monday, June 13, 2011

Sombongnya

Setiap hari rutin saya ke tempat kerja ialah menghantar Aina (Alang) ke tabika di Segamat Baru dan Irdi (Kakcik) ke tabika Kemas UiTM. Amalan dalam kenderaan ialah kesmua anak akan berdoa bersama-sama sepanjang memulakan perjalanan:
1) Bismillahilazi la yadurru ma'asmihi. syai un fil ardi ...
2) Doa naik kenderaan
3) Ayat kursi
4) Tiga qul

Selepas habis doa di atas barulah saya akan 'on kan' radio ke mana2 'channel' tetapi jika rancangan pelajari Bahasa Arab ke udara, saya akan terus tukar ke 'channel' lain kerana bagi saya apa yang disampaikan adalah asas bahasa arab yang kononnya telah saya pelajari selama lima tahun di sekolah dahulu. SOMBONGNYA saya.....

Tetapi apabila melihat betapa tekunnya Prof MKI mempelajari bahasa ini sehingga beliau mempunyai guru sendiri, saya terus bertanya kepada diri sendiri... "Kenapa sampai jadi begini, betapa sombongnya saya. Bukankah ini bahasa al-quran?"

Kini, setiap kali ke tempat kerja jika berkesempatan saya pasti akan membuka radio IKIM supaya tidak terlepas rancangan ini setiap hari Isnin - Jumaat. Kakcik pun tak sabar2 untuk menyanyi bersama2 setiap pagi jam 8.30. Ternyata saya menjadi pendengar yang setia dan ini sedikit sebanyak dapat menambahkan kefahaman dan perbendaharaan kata terhadap apa yang saya pelajari 20 tahun yang lalu. Kakcik pun dah hafal lagu ni:
Mari belajar bahasa arab
bahasa indah bahasa al-quran
mari pelajari bahasa ini
bahasa nan suci dan murni
Haiya bil arabiyyah 2x

Saturday, April 30, 2011

Muhammad Farhan

Al-fatihah: Pelajar BM111 Meninggal Dunia. Itulah tajuk email yg saya baca pd 22/4/11 yg lalu dihantar oleh KP DBS. Tak tertahan air mata apabila nama yg terpapar adalah pelajar yg saya kenali lebih2 lagi beliau adalah mentee saya Muhammad Farhan bin Abdul Rahim pelajar part 4. Beliau yg saya kenali sangat baik, berbudi bahasa dan merupakan Ketua mentee saya.

Hari ini saya membaca posting dlm facebook beliau yg membuatkan hati saya bertambah sayu dan pilu apabila membaca keratan akhbar Metro : TAK SEMPAT JAMAH BEKAL

MELAKA: “Perjalanan esok agak jauh, malasnya nak balik Segamat!”, adalah status dalam Facebook pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, kelmarin, sebelum dia maut akibat nahas jalan raya di Lebuh Raya Ayer Keroh berhampiran persimpangan lampu isyarat Gapam, di sini, semalam.... etc

Sesungguhnya berita ini amat mengejutkan sekembalinya saya dari cuti bersalin selama 90 hari. Saya baru merasa kesedihannya sedangkan orang lain telah berendam air mata lebih tiga bulan yang lalu.Saya pasrah, mungkin inilah hikmahnya apabila tiada seorang pun mentee yg sms memberitahu saya berkenaan perkara ini. Tarikh pemergian arwah adalah sama dengan tarikh saya melahirkan Hafiy iaitu 11.1.11. Mungkin saya akan lebih sedih apabila mengetahuinya di saat saya masih di dalam pantang. Lahirnya seorang khalifah dan perginya seorg khalifah pada hari yg sama. Masih terbayang wajah arwah yang tersenyum dalam fb nya.

Al-fatihah buat arwah... Selamat bersemadi di sana pelajar ku Muhammad Farhan yang disayangi oleh semua orang.

Monday, April 18, 2011

Kais pagi

Baby Afi yang lahir pada 11.1.11 (5 tiang kawan saya kata) memang mengindahkan kehidupan kami sekeluarga. Saya berazam memberikan yang terbaik untuk Afi iaitu penyusuan secara eksklusif selama 2 tahun. Insyaallah, semoga dikuatkan semangat dan dimurahkan rezeki saya. Saya mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada rakan sejawat, Nazihah Omar yang menyusukan anak pertama dan kedua beliau secara eksklusif. Inilah yang memberikan saya semangat iaitu sokongan kawan-kawan dan masyarakat sekeliling. Terima kasih banyak2 Jiha. Sebagai bayi lelaki, Afi memang kuat menyusu. Jam 12 tengah hari tadi kak Nor dari nursery telefon dan kata hanya tinggal satu botol sahaja lagi. Medela Swing "breast pump" yang saya gunakan cukup-cukup untuk memenuhi keperluan Afi selama 8 jam di nursery. Tak dapat buat stok lagi. Bak kata Jiha "Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang la ye kak... hehe" Sepatutnya akak boleh mula simpan susu sebulan sebelum masuk kerja. Nasihat Jiha. Kalau perlu menghadiri seminar atau kursus memang susah ni. Saya akur kerana bermula lewat. Walau bagaimanapun saya takkan lemah semangat. Saya akan teruskan lagi usaha untuk membuat lebih banyak stok untuk kegunaan Afi. Doakan mama ye Afi....

SAWANG

Salam. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya. Dah penuh dengan sawang nampaknya tu. Selepas membaca blog Prof Muhd Kamil Ibrahim (MKI) saya terus teruja dan bersemangat kerana orang yang sesibuk beliau masih dapat meluangkan waktu untuk mengemaskini blog, kenapa pula saya rakyat biasa ni tak boleh buat? Inilah azam saya pada tahun 2011. Dengan izin Allah saya akan menulis dan terus menulis untuk kepuasan diri dan berkongsi cerita untuk tatapan anak-anak di kemudian hari.