Monday, June 20, 2011

Muzatul Naimah Mohd Shaharuddin

1.35 petang saya didatangai oleh tiga orang pelajar MGT340 Human Resource Management part 5. Selepas menerangkan tentang 'individual assignment' yang saya berikan, Nur Dianah Zakaria berkata "Puan, saya sebenarnya dah lama nak sampaikan salam emak kawan saya. Emaknya kata, dulu anaknya pensyarah sini tetapi telah meninggal dunia. Adik dia kawan baik saya di sekolah. Nama adik dia Muzatul Soleha. Masa saya part 2 ada borak2 dengan mak dia & dia kirim salam, tapi saya tengok puan busy masa jadi KP, susah nak jumpa personal untuk sampaikan salam ni."

Ya, arwah Muzatul Naimah Mohd Shaharuddin takkan saya lupa. Saya memanggil beliau sebagai Lin, itulah nama panggilan yang digunakan kecuali kepada mereka yang kurang mengenali akan memanggil Muzatul. Beliau merupakan 'housemate' saya ketika menyewa di IOI Bandar Putra, Segamat.

Lin yang saya kenal, walaupun tidak banyak bercakap tetapi beliau merupakan seorang pendengar yang setia setiap kali saya bercerita. Satu perkara yang sangat menarik tentang Lin, beliau sangat suka tentang hiasan dalaman dan sangat pandai memasak, apa sahaja yang dia masak semuanya sedap.

Sampai suatu ketika saya bertanya "Lin letak perencah apa ye?"
"Biasa-biasa je kak" jawab beliau merendah diri. Tapi memang saya dan Zana akui masakan beliau memang sedap.

Daripada Lin lah juga saya mula berminat untuk membeli dan mengumpul majalah hiasan dalaman seperti Impiana, Dekor dll hinggalah sekarang. "Lin suka tengok majalah yang banyak gambar berbanding tulisan." Itulah komen beliau.

Kini hanya tinggal kenangan kerana Lin telah meninggalkan saya buat selama-lamanya sejak 7 tahun yang lalu iaitu tiga minggu sebelum majlis perkahwinan saya pada 22.8.2004. Saya rasa lega dan puas hati kerana sempat menunjukkan gambar bakal suami di hari konvokesyennya kepada Lin. "Inilah gambar dia Lin, cikgu Idris bin Kamis di SMK Gemereh".

Masih segar di ingatan, pada hari Jumaat tersebut saya akan balik ke kampung untuk bersama-sama bakal suami membeli barang hantaran di K.Lumpur, Lin pula akan pulang ke kampungnya di Klang untuk menghadiri kelas Master beliau setiap hujung minggu, tak tahu kenapa, tetapi hati saya amat berat untuk berkata "Jumpa lagi hari Isnin ye Lin". Apa yang pasti, tak sabar2 rasanya untuk saya tunjukkan brg yang akan dibeli nanti. Kami bersalaman sebelum berpisah.

Hari Isnin saya dimaklumkan bahawa arwah Muzatul dimasukkan ke ICU kerana penyakit lelah beliau. Memang beliau ada asma dan sentiasa berpantang dalam menjaga pemakanan. Pernah satu malam saya menghantar beliau mendapatkan rawatan di Hosp Segamat (mujur dekat dengan rumah sewa kami). Fitri, adik arwah menghubungi saya Isnin tersebut untuk mendapatkan GL. Saya pun terus menghubungi Admin dan Kak Mai terus faks GL tersebut sebelum dipos.

Dalam kesibukan menghadiri kuliah, tiba2 pada hari Rabu UiTM memaklumkan bahawa arwah Muzatul telah kembali ke rahmatullah. Saya sangat terkejut kerana beliau masih muda lagi dan telah dijemput olehNya. Ternyata Allah lebih menyayangi beliau. Ros Surya Taher sahabat baik beliau juga telah merah2 mata. Ketika menaiki bas UiTM untuk menziarahi arwah yang telah dikebumikan pada siangnya, saya memilih untuk duduk bersendirian di dalam bas. Sepanjang perjalanan saya tidak dapat membendung kesedihan dan kenangan bersama2 beliau sentiasa bermain di ingatan. Kadangkala saya tersenyum & kadangkala saya bersedih. Biarlah saya menzahirkan apa yang terbuku di hati daripada menyimpan hingga menghimpit diri.

Kini semua itu telah berlalu. Kehadiran seorang pensyarah baru Roslina Mohamad Shafi menyentak hati saya. Di awal pertemuan saya tidak boleh melihat wajah beliau yang seiras arwah kerana ini akan mengimbau segala kenangan bersama-sama arwah. Apabila teringat, terus saya sedekahkan al-fatihah. Wajah Ros memang mirip arwah cuma arwah memakai kaca mata sedangkan Ros tidak. Lama-kelamaan apabila kerap bertemu barulah saya dapat menerima bahawa itu adalah Roslina dan bukannya Lin.

Sehingga ke saat menulis blog ini, saya masih merasa kesedihannya. Buat sahabatku Lin, akak doakan semoga Lin di tempatkan dalam kalangan mereka yang terpilih olehNya. Amin. Alfatihah.

Monday, June 13, 2011

Sombongnya

Setiap hari rutin saya ke tempat kerja ialah menghantar Aina (Alang) ke tabika di Segamat Baru dan Irdi (Kakcik) ke tabika Kemas UiTM. Amalan dalam kenderaan ialah kesmua anak akan berdoa bersama-sama sepanjang memulakan perjalanan:
1) Bismillahilazi la yadurru ma'asmihi. syai un fil ardi ...
2) Doa naik kenderaan
3) Ayat kursi
4) Tiga qul

Selepas habis doa di atas barulah saya akan 'on kan' radio ke mana2 'channel' tetapi jika rancangan pelajari Bahasa Arab ke udara, saya akan terus tukar ke 'channel' lain kerana bagi saya apa yang disampaikan adalah asas bahasa arab yang kononnya telah saya pelajari selama lima tahun di sekolah dahulu. SOMBONGNYA saya.....

Tetapi apabila melihat betapa tekunnya Prof MKI mempelajari bahasa ini sehingga beliau mempunyai guru sendiri, saya terus bertanya kepada diri sendiri... "Kenapa sampai jadi begini, betapa sombongnya saya. Bukankah ini bahasa al-quran?"

Kini, setiap kali ke tempat kerja jika berkesempatan saya pasti akan membuka radio IKIM supaya tidak terlepas rancangan ini setiap hari Isnin - Jumaat. Kakcik pun tak sabar2 untuk menyanyi bersama2 setiap pagi jam 8.30. Ternyata saya menjadi pendengar yang setia dan ini sedikit sebanyak dapat menambahkan kefahaman dan perbendaharaan kata terhadap apa yang saya pelajari 20 tahun yang lalu. Kakcik pun dah hafal lagu ni:
Mari belajar bahasa arab
bahasa indah bahasa al-quran
mari pelajari bahasa ini
bahasa nan suci dan murni
Haiya bil arabiyyah 2x